Friday 12 October 2012

Kaedah Penyelidikan



PENYELIDIKAN......???
  1. Penyelidikan bermakna mencari maklumat.
  2. Satu proses mencari jawapan kepada satu persoalan ataupun penyelesaian untuk sesuatu masalah atau tanda tanya.
  3. Satu proses sistematik yang membabitkan pengumpulan dan penganalisaan maklumat untuk menerang dan memahami sesuatu topik, masalah atau isu.
  4. Satu proses yang melibatkan tiga langkah iaitu mengemukakan persoalan, mengumpul data dan mengemukakan jawapan kepada persoalan.
‘Research is a  structured enquiry that utilizes acceptable scientific methodology to
      solve problems and create new knowledge that is generally applicable.’ 
http://www.ihmctan.edu/PDF/notes/Research_Methodology.pdf

TUJUAN....???
  1. Mendapatkan kebenaran.
  2. Menyelesaikan masalah pendidikan dan mencari jawapan kepada persoalan yang timbul.
  3. Menjawab persoalan-persoalan yang masih belum ada jawapan.
  4. Membaiki dan menyempurnakan latihan penyelidikan.
  5. Menguji hipoteses yang diturunkan daripada teori-teori ilmu sosial yang masih belum pasti.
  6. Menghasilkan pengetahuan baru secara sistematik.

KEPENTINGAN...???

1.  Memperkaya pengetahuan sedia ada
         Menambah pengetahuan sedia ada  tentang sesuatu masalah atau isu bagi  
                memahami situasi yang dihadapi. Hasil dari pembacaan serta pengumpulan dan
                penganalisaan maklumat, pengetahuan baru ini menjadi ilmu tambahan yang
                menyokong atau membuktikan keputusan penyelidikan lepas dalam bidang yang  
                berkaitan. Pengayaan juga berlaku apabila penyelidikan baru dijalankan di suatu lokasi  
                baru atau melibatkan populasi yang berbeza.
                                   
         2.  Menyumbang ke arah penambahbaikan amalan
              Maklumat baru yang diperolehi hasil penyelidikan dapat dijadikan asas kepada cadangan-
              cadangan penambahbaikan. Terdapat empat jenis pengetahuan yang membantu  dalam 
              penambaikan amalan-amalan pendidikan:
              a.  Pengetahuan bersifat deskriptif
                   Fakta-fakta yang memperihalkan sesuatu  fenomena dengan memberikan  
                   maklumat  tentang profil, struktur dan hubungkait  dengan fenomena.
              b.  Pengetahuan bersifat ramalan
                   Data yang membolehkan penyelidik membuat ramalan atau jangkaan secara
                   statistik tentang sesuatu fenomena berdasarkan maklumat sedia ada.
              c.  Maklumat berbentuk penambahbaikan
                   Maklumat yang diperolehi daripada penyelidikan yang   dijalankan bagi menentukan
                   keberkesanan sesuatu kaedah atau intervensi.
              d.  Maklumat berbentuk penerangan
                   Penting untuk kegunaan masa panjang dan melibatka tiga jenis    maklumat lain,
                   deskriptif dan  penambahbaikan dalam merangka teori tentang sesuatu fenomena.                                                                  
      3.  Memberi maklumat untuk penggubalan dan  penambahbaikan dasar
           Keputusan yang diperolehi daripada penyelidikan-penyelidikan yang telah dilaksanakan
           secara teliti dan dapat digeneralisasikan lazimnya akan menjadi asas kepada pembentukan 
           atau penambahbaikan.

 JENIS-JENIS PENYELIDIKAN....???
1.  Penyelidikan Asas
     Penyelidikan yang melibatkan pengumpulan data bagi menghasilkan sesuatu teori  atau
     mengukuh atau menilai semula teori bagi  situasi baru dengan melihat hubungkait antara
     pembolehubah faktor dalam konstruk yang membina teori yang diselidik bagi tujuan
     generalisasi. Secara umumnya, penyelidikan asas menyediakan konsep atau teori sebagai asas
     penyelidikan gunaan.

2.  Penyelidikan Gunaan
       Bertujuan menyelesaikan masalah praktikal dengan menggunakan teori-teori sedia ada dalam
     disiplin yang diselidik.

3.  Penyelidikan Penilaian
     Mendapatkan data secara sistematik untuk menilai keberkesanan  atau kualiti sesuatu sistem
     atau program sama ada daripada  aspek input, proses atau produk.
4.  Penyelidikan Tindakan
     Melibatkan para pengamal sebagai penyelidik dalam usaha  penambahbaikan amalan semasa.
     Dapat meningkatkan profesionalisme sesuatu profesion melalui penilaian dan penambahbaikan
     berterusan.

Jadual 1 Jenis-jenis Penyelidikan
Jenis Penyelidikan
Tujuan
Contoh
Asas
Untuk meningkatkan ilmu
pengetahuan tentang sesuatu fenomena

Memahami pengaruh maklum balas guru ke atas tahap motivasi pelajar atau gaya pembelakaran mereka
Gunaan
Untuk menyelesaikan masalah berhubung amalan dalam pendidikan
Menentukan pendekatanpaling sesuai untuk melatih guru menggunakan portfolio bagi penilaian pelajar

Penilaian
Untuk membuat keputusan tentang program pendidikan
Membuat keputusan sama ada untuk meneruskan atau tidak program kelas tambahan selepas waktu sekolah

Tindakan
Untuk meningkatkan keberkesanan amalan di sesebuah lokasi seperti kelas atau institusi pendidikan tanpa membuat generalisasi

Menentukan kaedah pembentukan kumpulan yang sesuai agar pelajar menghsilkan pencapaian paling tinggi
Penyelidikan dan
Pembangunan
Untuk menyelesaikan masalah amalan pendidikan dengan membangunkan produk
Menentukan sama ada modul pembelajaran atas talian sesuai atau tidak untuk pelajar


PENDEKATAN PENYELIDIKAN...???
Ada dua jenis pendekatan yang dijalankan dalam penyelidikan iaitu:
1.   Penyelidikan Kuantitatif
      Mementingkan keobjektifan dalam pengumpulan data berdasarkan andaian bahawa setiap   
      fenomena dalam kehidupan ini dapat diterangkan dengan mengukur elemen-elemen yang
      terlibat dalam fenomena berkenaan. Pengukuran akan memberikan data kuantitatif  yang
      diberi makna menerusi analisis dan kemudian generalisasi dibuat untuk menampung keperluan
      populasi yang lebih besar tetapi mempunyai ciri-ciri yang sama. Data-data yang dikumpul  
      adalah berbentuk nombor dan hasil kajian adalah dalam bentuk jadual, gambarajah dan
      menggunakan perkiraan statistik.

 2.   Penyelidikan Kualitatif
       Usaha menjawab perkara-perkara yang tidak mungkin dapat dijawab menerusi penyelidikan
       kuantitatif serta memberi gambaran dari perspektif yang tidak dapat diukur secara kuantiti.
       Dalam erti kata lain, penyelidikan kualitatif berfokuskan kepada konteks di mana sesuatu itu
       berlaku dalam satu-satu suasana yang hendak dikaji. Ia memfokuskan kepada proses dan
       hasil.Contohnya seperti imej diri, tingkah laku, perasaan atau sikap.

Jadual 2 Perbezaan antara Penyelidikan Kuantitatif dan Kualitatif      

KUANTITATIF    
KUALITATIF
Pembolehubah                
Memfokus pada pembolehubah.
Memfokus pada proses interaksi dan peristiwa.
Kebolehpercayaan
Kunci utama ialah kebolehpercayaan.
Kunci utama ialah ketulenan.
(authenticity)
Keadaan
Tidak bergantung pada situasi atau keadaan.
Ia terbatas atau terhad pada satu-satu situasi yang tertentu.
Sampel
Melibatkan kos yang tinggi.
Populasi atau sampel yang besar.
Melibatkan sebilangan kecil subjek atau kes.
Seorang subjek atau kumpulan kecil
(5-25 orang).
Analisis
Analisis statistik.
Analisis berasaskan tema.

Penglibatan
Penyelidik tidak terlibat secara langsung.
Penyelidik terlibat secara langsung.


LANGKAH-LANGKAH DALAM PROSES PENYELIDIKAN....???
1.  Mengenalpasti Masalah dan Tujuan Penyelidikan
     Kemukakan topik atau isu yang menjadi tumpuan atau tandatanya.  Nyatakan isu-isu yang
     terlibat, justifikasi kepada penyelidikan yang hendak dilakukan serta membincangkan
     kepentingan penyelidikan yang bakal dilaksanakan kepada pihak-pihak terbabit.  Pernyataan
     masalah penyelidikan juga merupakan asas kepada penentuan tujuan penyelidikan yang
     kebiasaanya dijadikan penutup kepada kesimpulan perbincangan pernyataan masalah.

2.  Membuat Liputan Literatur
     Buat liputan literatur secara ekstensif tentang perkara yang hendak diselidik seperti konteks,
     pembolehubah, teori dan penyelidikan lepas yang berkaitan.Proses ini bermula seawal
     pengenalpastian masalah kerana dalam proses mengenal masalah, penyelidik perlu membaca
     dan merujuk kepada penyelidikan-penyelidikan lepas serta isu-isu yang menjadi pokok    
     perdebatan dalam konteks semasa serta membandingkannya dengan penyelidikan yang lain
     yang relevan.  Liputan literatur penting untuk menentukan nili tambah atau keaslian penyelidikan
     yang akan dilakukan serta kepentingannya kepda pihak-pihak terbabit di samping sumbangan
     kepada bidang ilmu yang diterokai.

3.  Mereka Bentuk dan Merancang Penyelidikan
     Pendekatan yang digunakan dalam proses mendapatkan data penyelidikan, perlu dirancang
     rapi berdasarkan reka bentuk yang bersesuaian untuk mendapatkan data yang baik.  Pilih
     pendekatan yang sesuai samada pendekatan kualitatif atau kuantitatif yang ditentukan oleh
     persoalan atau objektif penyelidikan. Dalam mereka bentuk penyelidikan, penyelidik juga
     harus membincangkan pembolehubah-pembolehubah penyelidikan yang terlibat dan
     bagaimana ia akan diukur, disamping membincangkan populasi dan teknik persampelan yang
     terlibat dalam mengenalpasti responden penyelidikan.  Perancangan penyelidikan juga  
     melibatkan pendekatan penganalisisan data yang akan digunakan.  Sekiranya pendekatan
     penyelidikan menjurus kepada pendekatan kuantitatif maka penyelidik perlu membincangkan
     teknik statistik yang paling sesuai digunakan manakala jika pendekatan kualitatif menjadi fokus,
     maka kaedah seperti analisis tema perlu dibincangkan.

4.  Mengumpul Data
     Proses mengumpul data menghendaki penyelidik berada di lapangan atau di lokasi penyelidikan.
     Penyelidik perlu mendapatkan kelulusan atau kebenaran untuk menjalankan penyelidikan
     daripada pihak-pihak berkaitan seperti Bahagian Perancangan  dan Penyelidikan Dasar
     Penyelididkan(bagi institusi-institusi di bawah KPM) dan bagi penyelidikan yang melibatkan
     individu-individu seperti orang kurang upaya atau pesakit, penyelidik perlu mendapatkan surat
     kebenaran daripada ibubapa atau penjaga kanak-kanak atau individu yang akan terlibat sebagai
     sampel atau subjek dalam penyelidikan.

5.  Menganalisis dan Menginterpretasi Data
     Penganalisisan data ialah proses di mana penyelidik meneliti data secara keseluruhan dan juga
     secara berasingan dengan bantuan teknik-teknik statistik atau pendekatan kualitatif yang
     bersesuaian, bergantung kepada jenis maklumat atau data serta pendekatan yang digunakan.
     Kesimpulan yang dibuat berdasarkan kepada persoalan penyelidikan dan data yang diproses
     dipersembahkan dengan bantuan jadual, rajah, graf dan sebagainya.  Interpretasi data pula ialah
     perbincangan terhadap kesimpulan yang telah dibuat dengan berbantukan maklumat yang telah
     dikumpul melalui pembacaan literatur.

6.  Membincangkan Dapatan dan Membuat Laporan
     Perbincangan merangkumi implikasi dapatan penyelidikan terhadap stakeholders yang terlibat,
     seperti pembuat dasar, pengamal(contohnya guru), ibu bapa serta pelajar.  Bagi pelajar
     siswazah, pelaporan perlu mengikut format penulisan tesis yang telah ditetapkan institusi
     masing-masing.  Manakala pelaporan lain boleh dihasilkan dalam bentuk laporan teknikal,
     monograf, makalah jurnal, kertas persidangan dan sebagainya.  Kualiti sesuatu penyelidikan
     dinilai berdasarkan kriteria-kriteria standard yang digunapakai oleh kumpulan penyelidik atau
     sasaran.

7.  Menyebarkan Hasil Penyelidikan
     Dalam dunia akademik, laporan penyelidikan yang ditulis dalam bentuk makalah jurnal
     mempunyai nilai yang tinggi kerana penerbita jurnal dibuat secara berkala(hasil penyelidikan
     dikumpul mengikut tahun dan bidang disiplin ilmu) dan dinilai oleh penilai sebelum diterbitkan
     bagi menjaga kualiti makalah.  Penyelidik juga boleh menyebarkan dapatan penyelidikan
     menerusi seminar, wacana, ilmiah, atau medium lain seperti buku, monograf dan akhbar.


Sumber:
Penyelidikan Dalam Pendidikan
Noraini Idris
Kaedah Penyelidikan Sains Sosial
Sabitha Marican
Bimbingan Cepat: Analisis Data Penyelidikan
Mohd Yusri Ibrahim

No comments:

Post a Comment